Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 18 Mei. - Jabatan Muzium-muzium (JMM) melalui Bahagian Pemeliharaan dan Pembaikan hari ini melancarkan Pameran Konservasi: Warisan Terpelihara sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa yang diraikan setiap 18 Mei, di Galeri Seni, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, di ibu negara.
Majlis pelancaran dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman selaku tetamu kehormat majlis.
Turut hadir, Duta-duta dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi luar negara ke Negara Brunei Darussalam, Ahli-ahli MMN, ketua-ketua jabatan, pegawai kanan kerajaan serta warga JMM.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah Muzium-muzium selaku Pengerusi Majlis, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus antara lain menyentuh mengenai kepentingan warisan budaya sebagai ejen penyatupaduan yang mencerminkan identiti serta tamadun masyarakat.
Setiap usaha memelihara artifak merupakan sebahagian daripada pemeliharaan naratif dan sejarah bangsa.
Usaha tersebut bukan hanya tanggungjawab muzium semata-mata, malah merupakan amanah bersama untuk memastikan generasi akan datang terus dapat mengenali dan memahami jati diri melalui warisan yang dipelihara.
Selaras dengan misi jabatan untuk melindungi dan memelihara warisan tamadun negara demi menggalakkan pendidikan serta merangsang minat, rasa cinta dan penghargaan terhadap warisan tamadun negara, pameran tersebut bertujuan bagi memperkenalkan kepada orang ramai tentang pentingnya pemeliharaan bahan koleksi muzium sebagai khazanah warisan budaya negara.
Pameran berkenaan mengetengahkan peranan JMM sebagai institusi yang bertanggungjawab memelihara, memulihara serta memastikan keselamatan koleksi warisan negara.
Pemeliharaan merupakan antara pendekatan utama JMM dalam memupuk perpaduan dengan menyatukan masyarakat melalui usaha bersama dalam menjaga warisan budaya dan alam semula jadi yang dikongsi bersama.
Dengan tema Hari Muzium Antarabangsa tahun ini, 'Museums Uniting a Divided World', pendekatan tersebut menggalakkan kerjasama antarabangsa dan meningkatkan kefahaman serta menekankan bahawa ikhtiar usaha pemeliharaan warisan bukan sahaja menjadi tanggungjawab muzium, malah merupakan usaha bersama dalam menjaga warisan sejarah.
Selain mengekalkan identiti, usaha pemeliharaan warisan budaya dan alam semula jadi juga berperanan menghubungkan komuniti serta memperkukuh rasa tanggungjawab bersama demi kepentingan generasi akan datang.
Pameran konservasi berkenaan dibukakan untuk kunjungan orang ramai selama sebulan dan 14 hari di Galeri Seni, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja.
Selain pameran, beberapa taklimat dan aktiviti sampingan turut diadakan termasuk Taklimat Bersiri 'Warisan Terpelihara Kitani', demonstrasi pemeliharaan bahan koleksi organik dan 'inorganic', serta aktiviti jualan buku dan kuiz.
Taklimat bersiri tersebut menekankan usaha pemeliharaan khazanah budaya dan alam semula jadi, meliputi aspek pemeliharaan, penyelidikan serta cabaran yang dihadapi dalam usaha pemeliharaannya.
Ia merangkumi warisan fizikal dan tidak ketara termasuk bahan koleksi, tradisi budaya, spesimen, flora serta tapak bersejarah.